0

Perutusan Menteri



Assalamualaikum w.b.t. salam sejahtera dan salam muhibah.

Kecanggihan teknologi ICT masa kini dan keupayaannya memberi kemudahan serta mempercepatkan proses kerja telah mendorong kerajaan melabur dan menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi ICT. Kini kita boleh mencapai maklumat dari seluruh pelosok dunia tanpa sempadan pada bila-bila masa.

Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan kemudahan ICT tanpa mengira status pekerjaan. Pelbagai kemudahan ICT telah disediakan bagi memudahkan rakyat berurusan dengan agensi kerajaan seperti Portal myGovernment, e-Filing, e-KL, e-payment, e-Perolehan, I-Akaun dan sebagainya. Penggunaan kemudahan ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa tetapi juga dapat mengurangkan kos pengendalian serta mampu meningkatkan kecekapan. Sekali gus kemudahan ini dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Matlamat kerajaan menjelang tahun 2020 adalah melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan minda kelas pertama. Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian selaku pengurus maklumat harus melengkapkan laman web Kementerian dengan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta mempertingkatkan kelengkapan dan sistem keselamatannya dengan perisian terkini.

Saya berharap Kementerian bersama agensi-agensi di bawahnya telah menyediakan maklumat-maklumat yang diperlukan rakyat. Laman web kementerian yang dirangkaikan dengan agensi-agensi kerajaan juga harus mengandungi maklumat terkini sepanjang masa supaya rakyat mendapat maklumat yang terkini melalui laman web kita. Dengan ini, kita akan melahirkan masyarakat yang bermaklumat, inovatif, kreatif dan berteraskan pengetahuan tinggi.


DATO' SERI UTAMA DR. RAIS YATIM
MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN